KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hassan menasihatkan orang ramai menjaga lisan agar terhindar daripada jenayah qazaf terutama kehangatan berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Menurut beliau tidak salah berbeza dalam ideologi politik namun jangan sampai tidak takutkan azab Allah.
“Hindari jenayah qazaf. Jaga diri kita dari terjebak dalam perbuatan tersebut.
“Berbeza bab politik tak salah, tapi jangan sampai tak takut azab Allah. Ittaqullah, katanya dengan menyertakan tanda pagar #SebarkanSalam.
Meskipun kenyataan beliau itu tidak menyebut secara jelas, namun Zulkifli dipercayai merujuk kepada insiden penyokong PN yang melaungkan kecaman terhadap pihak penyokong kerajaan semasa hari penamaan calon untuk PRK Ayer Kuning di Tapah, Perak baru-baru ini.
Sebelum itu tular rakaman video yang memaparkan seorang lelaki yang memakai kemeja T bertulis PN melaungkan kata-kata kejian yang dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Undi BN dapat peliwat,” katanya yang sempat berbalas perang mulut dengan penyokong parti kerajaan.
Qazaf adakah kesalahan syariah apabila ada individu menuduh seseorang lain berzina, terlibat dalam kegiatan liwat tanpa membawa empat orang saksi yang adil atau tanpa pengakuan tertuduh.
Mengikut hukum hudud, kegagalan membawa saksi atau bukti atas tuduhan tersebut membolehkan si penuduh dihukum sebat 80 kali dan tidak layak memberi keterangan sebagai saksi seumur hidup.
Individu terbabit juga tidak layak mewalikan pernikahan anak perempuannya. Kegagalan mematuhi syarat tersebut memungkinkan pernikahan berkenaan tidak sah.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat yang menganggap tuduhan orang lain terlibat liwat tidak termasuk dalam kategori berkenaan.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Rozaimi Ramle turut memberikan nasihat dan pandangan yang sama.
Dia yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin berharap semua pihak yang terlibat dengan kempen PRK di Ayer Kuning perlu menjaga lisan daripada tuduhan sedemikian.
“Saya ingin menasihati sahabat-sahabat yang terlibat dengan kempen PRK agar menjaga lisan daripada ayat begini.
“Bimbang termasuk dalam dosa qazaf. Qazaf termasuk dosa besar dalam Islam.
“Amat memalukan melaungkan perkataan begitu,” katanya di Facebook.