KUALA LUMPUR – Isu operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub baru-baru ini kini dalam kawalan pihak penguatkuasaan.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada penguat kuasa menjalan tugas.
“Itu (isu kebun durian di Raub) dalam tindakan pihak penguat kuasa, jadi kita (kerajaan negeri) biarkan mereka menjalankan tugas,” kata Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kelmarin, polis dikatakan akan memanggil lima individu termasuk Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui bagi membantu siasatan kes dakwaan penjawat awam dihalang menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman, berkata Yu Hui yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA), akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.
Kerajaan Pahang menafikan telah melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.