Dunia politik penuh gelora Pak Lah hadir memimpin penuh kelembutan – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tarikh 14 April 2025 akan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai hari dukacita buat seluruh rakyat Malaysia, kata Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, negara kehilangan seorang negarawan ulung, mantan Perdana Menteri ke-5 Malaysia dan Presiden Umno ke-6, Tun Abdullah Ahmad Badawi – yang lebih mesra kita panggil Pak Lah.

“Pemergian beliau diibaratkan perginya sebutir bintang yang menerangi jalur sejarah Malaysia dengan cahaya kelembutan, keikhlasan dan kesederhanaan.

“Dalam dunia politik yang penuh gelora, Pak Lah hadir sebagai wajah ketenangan, suara hikmah dan jiwa yang memimpin penuh kelembutan.

“Pak Lah adalah lambang seorang pemimpin berjiwa rakyat, berhati besar dan berakhlak mulia.

“Beliau membumi walau duduknya menjulang ke langit. Beliau menjunjung amanah demi agama, bangsa dan negara – dalam diam, dalam damai, dalam istiqamah,” catat Zahid.

Ujar beliau lagi, Pak Lah memimpin Umno pada era yang amat mencabar – pasca 22 tahun kepimpinan terdahulu terus membawa Malaysia melangkah ke lembaran baharu.

“Di bawah terajunya, lahirlah gagasan Islam Hadhari sebagai prinsip kenegaraan yang mengangkat martabat Islam dalam kerangka moden dan progresif.

“Pak Lah juga meneguhkan institusi-institusi negara: memperkukuh integriti dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta memperkasakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui suntikan profesionalisme sebagai satu langkah berani yang memberi kesan jangka panjang kepada tadbir urus negara.

“Namun, lebih daripada semua pencapaian itu, Pak Lah mengajarkan kita erti kesetiaan yang tidak pernah goyah. Ketika ribut politik menggoncang Umno pada tahun 1987 dan 1998, ketika ramai memilih untuk meninggalkan perjuangan, beliau kekal berdiri – setia, tabah, dan tidak pernah membelakangkan parti walau sering kali hatinya teruji.

“Beliau digelar kawan dan lawan sebagai “Mr. Nice Guy” – gelaran yang jarang ada dalam dunia politik atas kelembutan, kejujuran dan pekertinya bukan dibuat-buat, tetapi lahir daripada nurani yang tulus. Sikapnya memenangi hati rakyat, bukan dengan retorik, tetapi dengan keikhlasan yang menyentuh jiwa.

“Kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya mewakili seluruh saf kepimpinan dan ahli Umno menyampaikan ucapan takziah setulus hati. Kita bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin tetapi kita kehilangan seorang ayah, sahabat, guru dan pencetus ilham kepada ramai generasi pewaris bangsa.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima seluruh amal solehnya, dan menempatkan roh beliau dalam kalangan para Nabi, Syuhada dan Solihin. Amin Ya Rabbal Alamin.Terima kasih atas segalanya, Pak Lah. Selamat kembali ke negeri abadi,” ucap Zahid.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat