PETALING JAYA, – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak saman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, yang memohon pengisytiharan bahawa pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahun lalu adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Hakim Noor Hayati Mat dalam keputusan yang disampaikan secara dalam talian memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau memutuskan perkara tersebut berdasarkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966. Seksyen itu menyatakan bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Sehubungan itu, Suhaili diarahkan membayar kos berjumlah RM5,000 kepada Bersatu.
Suhaili diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Choo Shi Jin dan Woo J Enn, manakala Bersatu diwakili oleh Chetan Jethwani dan Tang Jia Yearn.
Pada 1 Julai lalu Suhaili memfailkan saman susulan surat Lembaga Disiplin Bersatu bertarikh 2 November 2023 yang memaklumkan beliau dikenakan tindakan disiplin kerana didakwa melanggar Fasal 22.1(f) Perlembagaan Parti.
Beliau berkata pertuduhan itu berkait dengan kenyataan media yang dibuatnya menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam surat balasan kepada lembaga bertarikh 3 November, Suhaili menjelaskan bahawa kenyataan tersebut dibuat ekoran kegagalan parti menyalurkan bantuan kepada rakyat Labuan yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
Beliau mendakwa walaupun telah memberikan penjelasan munasabah, lembaga disiplin tetap menggantung keahliannya selama enam tahun pada 7 November 2023 secara tidak sah dan tidak rasional.
Beliau kemudian memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 19 Disember 2023, namun kes tersebut ditolak kerana difailkan di luar bidang kuasa.
Pada 17 Mei, Suhaili menerima surat daripada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang memaklumkan bahawa beliau dipecat secara automatik kerana mengambil tindakan undang-undang terhadap parti, mengikut Perkara 10.2.6 Perlembagaan Bersatu.