Budak Usia 7 Tahun Buat 4 Kerja Untuk Sara Bapa Penagih Dadah

KUALA LUMPUR ― Seorang kanak-kanak tujuh tahun di sini terpaksa menyara bapanya yang juga seorang penagih dadah.

Dikenali sebagai Ahmad, kanak-kanak seusianya sudah berada di bangku sekolah namun dia masih buta huruf kerana terpaksa melakukan empat kerja berasingan.

“Tak pernah sekolah, surat beranak tidak ada. Ahmad cari dan jual botol kalau nak makan.

“Kadang-kadang dapat RM2 kadang-kadang RM3 kemudian beli makanan.

“Penat cari duit. Panas. Tetapi demi bapa, saya sanggup buat apa saja,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Ahmad bekerja menanggung bapanya dengan mengutip botol, meminta derma, menjaga parkir dan membantu pemuzik jalanan.

Empat kerja tersebut dilakukan demi membeli makanan dan membayar sewa bilik berharga RM10 hingga RM20 sehari.

Sementara itu, pekerja bantuan sebuah pertubuhan mendedahkan ibu Ahmad merupakan seorang warga Indonesia.

Norakmar Ali berkata wanita tersebut meninggalkan dua beranak itu kerana tidak tahan dengan sikap suaminya yang menagih dadah.

Katanya, Ahmad pernah dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat namun dihalang bapanya.

“Lebih malang Ahmad melihat perlakuan bapanya menghisap dadah di depannya.

“Kami bimbang Ahmad akan terpengaruh dan berharap ada pihak yang tampil memberi sinar baharu buat kanak-kanak ini,” dia dilaporkan berkata. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.