Babak Romantis Sukar Dilakonkan, Perlu Berhati-Hati – Zul Ariffin

Zul Ariffin antara pelakon muda yang cukup dikenali dengan watak romantis yang mampu mencairkan hati penonton. Pernah menempa fenomena menerusi watak romantis dalam drama Rindu Awak 200%, drama Menanti Februari turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada audiens.

Melakonkan watak Arie, bergandingan dengan aktres Fathia Latiff, Menanti Februari yang sedang ditayangkan di layar kaca ketika ini juga mempertaruh banyak adegan romantis.

Namun aktor itu memberitahu, bukan mudah melakonkan adegan-adegan romantis apatah lagi ada batasan yang perlu dipatuhi ketika melakonkan babak sedemikian.

Baginya, menjayakan babak romantis memang sukar apatah lagi terjemahan itu perlu dilakukan tanpa sentuhan.

“Sebagai pelakon, saya sendiri sudah menetapkan batas dan had yang boleh saya lakukan semasa melakonkan babak romantis.

“Babak romantis bukan sekadar perlu bersentuhan apatah lagi jika gandingan saya ialah seorang wanita berhijab yang memerlukan saya untuk lebih berhati-hati,” jelasnya.

Malah untuk menjayakan sesuatu adegan romantis jelas Zul, dia akan memberitahu terlebih dahulu apa yang dia akan lakukan kepada gandingannya.

Jika masing-masing bersetuju, barulah dia akan teruskan lakonan atau dia akan menukar lakonannya.

“Yang saya lakukan itu sebagai tanda hormat kepada pelakon wanita jika mereka sudah berkahwin mahupun mempunyai teman istimewa.

“Kalau boleh, biarlah adegan itu tidak menimbulkan rasa kurang senang kepada pasangan masing-masing tetapi berjaya memikat hati penonton,” katanya.

Tambah Zul, sebelum ini dia pernah beberapa kali membawakan watak romantis dan adakalanya watak itu berjaya tetapi ada juga sebaliknya.

“Sebelum ini pun saya pernah ditegur kerana terlalu melampau membawakan watak romantis dan dari situ saya belajar.

“Saya belajar untuk menjaga hati ramai orang termasuklah yang dekat dengan saya,” katanya tertawa.

Berserah kepada jodoh

Bergandingan dengan Zul Ariffin, Fathia Latiff mengakui, agak sukar untuk menjangkakan yang akan dilakukan aktor itu dalam setiap babak.

“Ada sesetengah babak romantis yang sudah dibincangkan bersama-sama tetapi akhirnya Zul melakukan sesuatu yang agak lain daripada sepatutnya. Waktu itu memang saya terkejut tetapi pengarah terima dan saya hanya teruskan babak tersebut dengan muka terkejut,” katanya.

Alang-alang menyentuh soal romantis, persoalan kisah cinta dalam kehidupan Fathia turut menjadi persoalan.

Menurut Fathia, buat masa ini dia menyerahkan perkara itu kepada Allah.

“Jodoh ini semua sudah ditentukan Allah. Sebelum ini saya gagal pun mesti ada sebab dan hikmah yang tidak saya ketahui. Apatah lagi hati dan perasaan orang lain saya tidak boleh kawal. Yang penting, saya doakan yang terbaik buat dia,” katanya.

Buat masa ini jelas Fathia, dia lebih selesa memberi fokus kepada kerjaya dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya memang berkawan dengan ramai orang dan mengenali hati budi mereka. Buat masa ini, saya boleh cakap belum bertemu lagi yang istimewa,” katanya.

Fathia sebelum ini pernah bercinta dengan Aiman Hakim Ridza dan bekas kekasihnya itu menyatakan bahawa dia masih menyayanginya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.