Sebar Imej Palsu Di Facebook, Sivarasa Didakwa Di Mahkamah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan menghantar imej palsu melalui akaun Facebook, Mac lalu.

 

Sivarasa, 60, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad, sebentar tadi.

 

Sivarasa didakwa atas dua tuduhan menghantar komunikasi palsu iaitu imej muka hadapan majalah TIME menerusi laman Facebook dengan niat menyakitkan hati orang lain.

 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 11, Menara A, Panda Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini, jam 7.41 malam pada 22 Mac lalu, diikuti jam 4.59 pagi, 23 Mac lalu.

 

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.