PRN11 Adalah Yang Terakhir Untuk Saya – Adenan

LUNDU – Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan beliau mahu bersara, sekali gus menjadikan Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) sebagai penyertaan terakhir beliau dalam arena politik.

 

Bagaimanapun, beliau menyatakan masih banyak perkara perlu diselesaikannya terlebih dahulu untuk negeri ini dan rakyatnya dalam tempoh lima tahun akan datang sebelum bersara.

 

Adenan atau lebih mesra dipanggil Tok Nan, berkata faktor usia dan keadaan kesihatannya adalah sebab utama beliau mahu berundur dari arena politik dan pentadbiran kerajaan.

 

“Umur saya sudah mencecah 72 tahun ini. Malah, saya sudah 11 kali bertanding (dalam pilihan raya) sepanjang berkecimpung dalam arena politik. Saya pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, ADUN Tanjung Datu dan Ahli Parlimen Batang Sadong.

 

“Banyak jatuh bangun saya lalui…. pengalaman itu sudah cukup bagi saya dalam arena politik. Sudah tiba masa untuk saya bersara selepas ini dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga… cukuplah lima tahun sahaja lagi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Tebingan Batang Kayan dan Pecah Tanah Projek Perlindungan Tebing Sungai Kampung Semunin Jaya di Tebingan Lundu, di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, berkata tempoh lima tahun itu amat diperlukannya bagi menyelesaikan beberapa agenda yang mampu membawa impak positif terhadap negeri ini dan rakyat.

 

Malah, tempoh itu juga bagi kelancaran proses peralihan kuasa kepada calon penggantinya, sekali gus memastikan kelangsungan legasi kecemerlangan kepemimpinan BN Sarawak. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.