Siti Hanya Sokong Tun Mahathir, Bukan Isu Yang Dibangkitkan

Kuala Lumpur – Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin menafikan beliau menyokong isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

Pengurusnya Rozi Abdul Razak ketika dihubungi SuaraTV berkata kenyataan Siti itu hanya merujuk kepada mantan Perdana Menteri itu sebagai pemimpin yang disegani dan bukan isu yang dibangkitkan terhadap kepimpinan kerajaan.

 

“Tun Mahathir merupakan orang yang sering menyokong karier Siti dari dahulu sehingga sekarang dan merupakan individu yang begitu disegani masyarakat.

 

“Disebabkan itu Siti (simpati) dan membuat kenyatan menyokong Tun Mahathir, namun ia telah disalah tafsir sehingga ia menjadi viral di media sosial,” ujarnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Menurut Rozi status yang dimuatnaik itu merujuk kepada kenyataan Mahathir yang mendakwa ‘keseorangan’ dan tiada kena-mengena dengan isu-isu politik seperti yang di dakwa sesetengah pihak.

 

“Disebabkan kenyataan itu, ramai wartawan yang menghubungi saya untuk meminta Siti memberi penjelasan lanjut.

 

“Namun disebabkan kenyataan itu telah dipolitikan, Siti enggan memberikan komen kerana khuatir ia akan disalah tafsirkan lagi,” ujarnya lagi.

 

Siti sebelum ini memuat naik gambar Dr Mahathir berlatarbelakangkan logo 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui akaun Instagramnya, dengan kata-kata yang menghargai Tun Mahathir.

 

“Love u Tun & sentiasa bersama Tun..Sejarah kepimpinan Tun mengharungi pelbagai cabaran &dugaan membangunkan Malaysia hingga terkenal di mata Dunia patut kita hargai serta contohi..

 

“Tiada yang Muda Kalau tidak kerana Orang Tua” tulis Siti sebelum ini.

 

Status itu kemudiannya menerima lebih 17,000 “likes” dan 664 komen dari peminatnya yang menyifatkan ia sebagai ‘sokongan moral’ terhadap serangan yang dilakukan oleh Tun Mahathir itu.

 

Tun Mahathir sebelum ini berterusan mengkritik dan menyerang pentadbiran Perdana Menteri dengan membangkitkan pelbagai isu termasuk kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.