‘Saya Bukan Ustaz, Bukan Ulama’

‘SAYA bukan ustaz, saya juga bukan ulama’ demikian kata-kata terbaru pelakon filem, Adam Corrie Lee yang telah memeluk Islam sejak 13 Julai 2007 lalu melalui kemas kini status di Facebooknya, hari ini.

 

Melalui catatan sama, Adam melahirkan pandangan di mana ilmu yang ada sia-sia jika kita hanya tahu berdebat dan mencari kesilapan orang lain.

 

Malah katanya, tindakan itu hanya akan menjauhkan lagi diri kita dengan mereka yang tidak memahami Islam.

 

“Bagaimana nak berdakwah? Saya bukan ustaz, saya juga bukan ulama. Hanya seorang hamba ALLAH yang melihat Islam itu indah dan mudah.

 

“Saya cuba berdakwah melalui akhlak (sentiasa perbaiki diri) dan berkongsi ilmu bukan dengan berhujah dan bukan dengan berdebat. Tak guna kalau kita ada ilmu tapi hanya tahu berdebat dan mencari salah serta menghukum orang lain. Ia hanya menjarakkan kita dengan mereka yang jauh dan tak faham dengan Islam,” katanya.

 

Sebelum ini, Adam dilaporkan telah berjaya membantu kira-kira 15 orang bukan Islam untuk memeluk Islam berdasarkan dakwahnya menerusi Facebook dan Instagram setiap hari.

 

Dalam pada itu, Adam berkata, mencontohi cara dakwah Rasulullah SAW yang menyampaikan Islam itu dengan penuh santun serta kasih sayang.

 

“Kita ikut cara Rasulullah SAW berdakwah penuh dengan santun, hikmah, tidak keras, penuh kasih sayang. Ramai yang balik fitrah hanya kerana akhlak Baginda.

 

“Kita hanya menyampaikan sahaja, sama ada mereka hendak menerima atau tidak dakwah kita, itu sudah menjadi urusanNYA kerana hidayah itu milik ALLAH.

 

“Yang penting kita berusaha berdakwah kepada mereka dan ada jawapan ketika di akhirat kelak padaNYa,” katanya lagi. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.