GST: 88,600 Premis Diperiksa, RM32,500 Kompaun Dikeluarkan

KUALA LUMPUR – Pihak ber­kuasa telah mengeluarkan kom­paun bernilai RM32,500 dan merampas pelbagai jenis barangan berjumlah RM48,688 daripada peniaga-peniaga yang ingkar sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), 1 April lalu.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 88,600 premis perniagaan telah diperiksa dan 152 tindakan diambil atas pelbagai kesalahan.

 

Katanya, kesemua peniaga tersebut dikesan melalui Operasi Antipencatutan atau Ops Catut fasa kedua yang telah dijalankan serentak dengan pelaksanaan GST.

 

“Pada masa sama, sebanyak 152 pemeriksaan bersepadu antara kementerian dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui Ops Pematuhan GST-Catut telah dijalankan.

 

“Dalam tempoh itu, sebanyak 535 pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan penjelasan dan justifikasi punca kenaikan harga atau caj bagi perkhidmatan yang tidak munasabah dalam pasaran,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Zaitun Mat Amin dalam sidang Dewan Negara hari ini.

 

Sementara itu katanya, dalam Ops Catut fasa pertama yang bermula 15 Januari hingga 31 Mac lalu, sebanyak 597,833 pemeriksaan te­lah dijalankan di seluruh negara.

 

Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,871 kesalahan dikesan dan RM335,000 jumlah kompaun, manakala pelbagai barangan turut dirampas yang keseluruhannya bernilai RM492,000.

 

“Di bawah akta itu, sebanyak 286 notis dikeluarkan terhadap peniaga yang menaikkan harga barang. Notis yang dikeluarkan ini merupakan satu langkah pengawalan peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab dan memanipulasi harga,” jelas beliau. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.