Gambar Pasport Dan Barang Peribadi Rakyat Malaysia Di Lokasi MH17

LONDON – Penemuan sekeping gambar pasport rakyat Malaysia yang merupakan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada Julai lalu mencetuskan rayuan daripada keluarga mangsa yang mahu sekatan kepada akses kawasan itu oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin dihentikan.

 

Keluarga kepada Mabel Anthonysamy Soosai, 45, membuat rayuan itu bagi membolehkan usaha pembersihan di tapak nahas di Kampung Grabovo itu dapat dilakukan, sekali gus dapat membawa pesalah ke muka pengadilan.

 

‘’Saya merasa terlalu sedih melihat gambar itu, pasportnya masih berada di kawasan serpihan pesawat. Namun, terima kasih kerana menemukan pasport itu dan memaklumkan kepada kami mengenainya,’’ kata Clement, 47, abang kepada Mabel ketika ditemui wartawan Mail Online di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Bekas pensyarah Universiti Essex di Britain itu dalam penerbangn pulang dari Amsterdam ke tanah air, Malaysia bersama suami, Paul Rajasingam Sivagnanam, 52, dan anak lelakinya, Matthew, 9, sebelum terkorban dalam nahas itu yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

 

Gambar pasport Mabel yang separuh hangus, ditemukan wartawan Mail Online yang mengunjungi tapak nahas pada minggu lalu yang turut menjumpai barangan peribadi milik mangsa lain dan beberapa barangan yang dianggap bukti penting nahas.

 

Selain itu, hasil lawatan Mail Online mendapati masih terdapat cebisan manusia yang boleh ditemukan di sekitar lokasi nahas selepas kira-kira 800 cebisan manusia ditemukan di lokasi nahas itu, baru-baru ini dihantar ke Belanda pada 28 Mac lalu.

 

Menurut penduduk tempatan, sebelah kaki wanita ditemui baru-baru ini ketika pasukan penyiasat masih dibelenggu kebimbangan untuk memasuki kawasan itu berikutan gencatan senjata antara tentera kerajaan dan pemberontak pro-Rusia.

 

Clement dalam pada itu menyampaikan mesej kepada Putin dan kumpulan pemberontak berikutan kebimbangan tindakan Rusia untuk menyembunyikan identiti mangsa nahas MH17 yang hampir pasti ditembak jatuh peluru berpandu BUK dari kawasan dikuasai pemberontak di Ukraine.

 

“Saya rasa sesiapa yang melakukan perbuatan ini patut menerima akibatnya. Apa yang mereka lakukan adalah salah kerana tindakan membunuh orang yang tidak bersalah tidak boleh dibenarkan,’’ katanya.

 

Sementara itu difahamkan, pasukan polis Malaysia bersama pasukan penyiasat dari Belanda dan Ukraine akan tiba ke lokasi nahas, hari ini dalam usaha mencari cebisan mayat yang mungkin masih berada di lokasi kejadian. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.