BNBBC Negeri Sembilan Sokong Penuh PM

Seremban – Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Negeri Sembilan mengikrarkan sokongan tidak berbelah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui kepimpinan negara.

 

Pengerusinya Datuk Abd Samad Ibrahim berkata BNBBC Negeri Sembilan sentiasa berdiri teguh di belakang Najib dalam menghadapi situasi masa kini.

 

“Sungguhpun pentadbiran negara terbuka kepada kritikan, khususnya kritikan yang membina, namun kritikan bersifat peribadi yang menyentuh cara pentadbiran Najib tidak boleh diterima kerana ia bukan sahaja menjejaskan kewibawaan beliau malahan boleh mencalarkan imej negara dan parti.

 

“Kritikan yang dilemparkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib adalah bersifat peribadi dan kami beranggapan tidak sesuai terutama ketika negara sedang berusaha untuk mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi bagi memacu pembangunan negara,” katanya kepada media di sini Rabu.

 

Abd Samad berkata BNBBC Negeri Sembilan tetap menghormati hak Tun Mahathir untuk memberikan pandangan berhubung isu-isu semasa yang dibangkitkan.

 

“Kami memohon supaya rakyat dapat bersama-sama dengan kerajaan untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja pembangunan negara dalam proses transformasi bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020,” katanya.

 

Sementara itu, Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia mengulangi sokongan penuhnya kepada pimpinan Najib.

 

“Mubarak menyokong penuh kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri kerana sejak beliau menerajui pentadbiran negara, banyak perubahan telah dimajukan,” kata Timbalan Presidennya Datuk Mohd Yazid Baba. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.