KUALA LUMPUR: Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 16 Mac ini bukan sekadar menentukan barisan kepimpinan baharu, tetapi juga menjadi ujian getir buat Lim Guan Eng dan pengaruh keluarganya dalam parti.
Sejak sekian lama, keluarga Lim – bermula dengan Lim Kit Siang, diikuti oleh anaknya, Guan Eng, dan adiknya, Lim Hui Ying – memainkan peranan dominan dalam DAP. Namun, kini muncul cabaran besar daripada kumpulan reformis dalam parti, diketuai Setiausaha Agung Anthony Loke dan pemimpin seperti Chow Kon Yeow, yang mahu menghapuskan politik dinasti dan memberi ruang kepada kepimpinan generasi baharu.
CNA melaporkan ,dakwaan amalan pilih kasih semakin menjejaskan kedudukan Guan Eng, dengan ramai pihak dalam parti tidak berpuas hati terhadap cara kepimpinan DAP ditentukan. Malah, beberapa veteran parti seperti Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, dan M. Kulasegaran telah menarik diri daripada bertanding, mencerminkan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli lama.
Walaupun dijangka kekal dalam CEC, masih belum pasti sama ada Guan Eng mampu mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi. Kegagalannya boleh menandakan berakhirnya dominasi keluarganya dalam DAP selepas lebih lima dekad.
Pemilihan kali ini turut mendapat perhatian nasional kerana DAP adalah parti kedua terbesar dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Jika perpecahan dalaman berterusan, ia boleh memberi impak kepada kestabilan politik negara, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bagi Guan Eng, kekalahan bukan sekadar kehilangan jawatan tetapi juga mungkin menamatkan legasi keluarganya dalam DAP. Namun, jika beliau berjaya bertahan, ia menandakan bahawa Dinasti Lim masih belum berakhir.