KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada pihak yang menyalahgunakan identiti Melayu dan Bumiputera untuk kepentingan peribadi, sekali gus mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka.
Berucap pada sambutan ulang tahun ke-59 Majlis Amanah Rakyat (MARA), Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa amalan ini telah menyebabkan banyak dana yang diperuntukkan untuk komuniti Bumiputera terbazir akibat kelemahan tadbir urus.“Jangan guna nama Melayu bagi memunggah kekayaan untuk peribadi, jangan guna peluang atas nama Bumiputera untuk mengkhianati amanah.
Kita akan lawan dan perang kumpulan ini, berapa banyak dana Bumiputera yang lebur kerana isu tatakelola tidak diurus (dengan telus), kita cakap soal AI (kecerdasan buatan) tetapi prinsipnya soal akhlak,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki.
MARA Perlu Berperanan Lebih Aktif
Anwar turut menyeru MARA agar lebih proaktif dalam membangunkan semangat bangsa Melayu dan Bumiputera bagi memastikan mereka tidak terus berada dalam keadaan lemah serta terpinggir daripada arus kemajuan.“Kita kena betulkan pandangan meleset, lemah dan longlaikan semangat bangsa…kita buktikan sebaliknya dan mahu MARA ambil peranan ini,” katanya.
70% Pelajar KPM & MARA Wajib STEM
Dalam usaha meningkatkan daya saing generasi akan datang, kerajaan menetapkan bahawa mulai tahun depan, 70% pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MARA mesti mengambil jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada sebarang desakan yang mempertikaikan keputusan ini kerana ia merupakan langkah penting untuk memastikan keupayaan bangsa Melayu dan Bumiputera dalam menghadapi cabaran masa depan.“Kalau ada ibu bapa atau gesaan dari ketua parti politik tak senang, saya percaya kita ada kekuatan untuk kata tidak.
Kita mahu Melayu dan Bumiputera ‘survive’ dalam pembangunan ini,” tegasnya.
Pelancaran Wakaf MARA Madani (WMM)
Dalam majlis yang sama, Anwar turut merasmikan Wakaf MARA Madani (WMM), satu inisiatif baharu untuk mengumpul dana wakaf secara profesional berasaskan prinsip syariah.
Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk pelbagai sektor seperti pendidikan, keusahawanan, kebajikan, pengangkutan, kesihatan dan aset wakaf, dengan matlamat memperkukuhkan kedudukan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat Bumiputera.