Gelombang Buruk Pencemaran Kimia Boleh Dielak Jika Bertindak Awal – Bomba

KUALA LUMPUR – Kesan buruk gelombang kedua dan ketiga akibat pencemaran bahan kimia termasuk gas metana di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, sepatutnya boleh dielakkan jika bahan toksik itu dibuang dari awal lagi sebaik sahaja dikenal pasti.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, gelombang toksik seterusnya berlaku selepas jabatan yang bertanggungjawab mengesahkan kualiti udara di kawasan terjejas adalah selamat.

“Pelupusan bahan itu tidak termasuk di bawah skop Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana ia membabitkan pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana.

“Bahan itu sudah dikenal pasti tetapi ia tidak dibuang. Saya faham pelupusannya akan menanggung kos tinggi. Disebabkan kos yang tinggi dan kurangnya inisiatif, maka bahan ini hanya dibiarkan di sana.

“Bagi saya, ini adalah langkah yang salah. Ia sepatutnya dibuang sebelum ia menimbulkan bahaya kepada komuniti berdekatan,” katanya, seperti dilaporkan Selangorkini yang memetik laporan asal New Straits Times.

Mohammad Hamdan menjelaskan demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Bomba dan Penyelamat di Meru, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata keadaan cuaca panas ketika ini dibimbangi menyebabkan reaksi kimia di kawasan pencemaran menjadi lebih teruk.

“Saya dari hari ini (Selasa) meminta tindakan yang perlu diambil berhubung radius tertentu kerana kemungkinan reaksi kimia dari cuaca panas.

“Saya percaya bahawa penutupan sekolah dan pemindahan diperlukan untuk memastikan keselamatan semua orang,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, sehingga tengahari semalam, sejumlah 2,775 orang mangsa telah dikenal pasti terjejas akibat pencemaran kimia tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor berkata jumlah itu merangkumi mangsa yang mendapatkan rawatan di dua pusat rawatan awal serta mereka yang mendapatkan rawatan terus di hospital dan klinik berdekatan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 1,906 mangsa mendapatkan rawatan awal sama ada di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar di sini.

“Daripada 1,906 mangsa itu, seramai 276 mangsa telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, dipetik dari laporan Utusan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.