Dua Anak Mangsa Kemalangan Maut DUKE Bakal Pilih Penjaga 2 April Ini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini menetapkan 2 April untuk memanggil dua anak mangsa kemalangan maut Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) tiga tahun lalu, untuk memberi keterangan sama ada ingin tinggal dengan ibu saudara atau nenek mereka.

Tarikh itu ditetapkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Mustaffa Amri Yussuf selepas sebutan kes berkenaan yang dihadiri ibu saudara mangsa, Yusnidah Husain, 50, selaku plaintif dan nenek mereka, Wirda Syamsuddin, 54, (defendan).

Pada prosiding itu, mahkamah akan mendengar keterangan dua beradik, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 10, dan Nur Firuza Aqila, 7, sebelum Hakim Syarie Muhamad Abd Karim Wahab membuat keputusan terhadap tuntutan hak penjagaan anak kekal (hadanah) dikemukakan Yusnidah.

Pada 11 Ogos 2015, Yusnidah diberi hak penjagaan sementara kedua-dua anak yatim itu.

Dalam prosiding hari ini, Yusnidah diwakili peguam syarie Mahyuddin Md Zahari manakala Wirda diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam kejadian 2 Mei 2015 di Kilometer 6.2 arah Hulu Klang ke Jalan Duta, Fairuz Nizam dan Nova Safitri serta anak mereka, Nur Firuza Annisa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya, terbunuh akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.