Yuna Luah Perasaan Buat Kekasih Hati

KUALA LUMPUR – Penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna menerusi entri terbaharu meluahkan perasaannya di laman Instagram seakan mengiyakan khabar mengenai hubungan intimnya dengan adik ipar Bunga Citra Lestari, Adam Sinclair.

Yuna menerusi kapsyen itu luah perasaan secara terbuka mencintai lelaki istimewa itu seadanya menerusi tulisannya yang dimuat naik malam tadi.

Malah, turut mengucapkan terima kasih kepada adik Ashraf Sinclair dan Aishah Sinclair itu di atas sokongan ketika dia mengadakan persembahan di festival muzik Lovelifest di Shah Alam, baru-baru ini, lapor BH.

“Saya mencintai kamu seadanya. Siapa sangka lima tahun lalu kita bersua dan kita masih di sini bersama. Saya tahu diri ini bukan senang untuk didampingi. Saya hadir dengan banyak beban dan tanggungjawab, tetapi kamu cukup berani menerima saya.

“Saya mahu seseorang di luar lingkungan bidang muzik saya, tetapi kamu boleh menyesuaikan diri dengan dunia saya. Terima kasih kerana terbabit dan memberi sokongan dalam apa yang saya lakukan sepenuh hati. Saya banyak ketinggalan benda menarik ketika festival ini berlangsung kerana harus bekerja,” katanya.

“Insya-Allah, andai diizinkan Allah, akan tiba masanya hari bahagia untuk kita berdua nanti. Terima kasih kerana akhirnya menunjukkan apa yang saya layak miliki,” katanya.

Sebelum ini, hangat diperkatakan pasangan ini sudah mengikat pertunangan berikutan tersebarnya gambar Yuna dengan jejaka berdarah campuran itu berbaju kurung dan Melayu rona sedondon namun dinafikan pengurus Yuna, Wawa.

Kebelakangan ini juga beliau dilihat sangat terbuka dalam soal cinta apabila kerap berkongsi gambar kekasih di laman sosial.

Spekulasi mengenai percintaan pasangan terbabit hangat diperkatakan sejak September 2015 apabila gambar Yuna bersama Adam dan abangnya, Ashraf, berserta isteri beliau, Bunga Citra Lestari, bercuti di Los Angeles, California, tersebar.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.