AS, Korea Selatan Dituduh Bunuh Jong-Nam

 

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Wakil tetap Korea Utara di PBB, Kim In-ryong menafikan lelaki yang dibunuh di Malaysia ialah abang tiri pemimpin tertinggi negara komunis itu, Kim Jong-un dan menyalahkan Amerika Syarikat (AS) serta Korea Selatan berhubung pembunuhan itu.

In-ryong memberitahu media di New York semalam bahawa pembunuhan itu ‘merupakan hasil tindakan melulu AS dan Korea Selatan bertujuan untuk mencemarkan imej Korea Utara dan menjatuhkan sistem sosialis negara itu’.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan pembunuhan tersebut semasa sidang akhbar yang dipanggilnya.

Pada sidang akhbar tersebut, In-ryong mengkritik Majlis Keselamatan PBB yang mengutuk ujian peluru berpandu balistik Korea Utara baru-baru ini sebagai mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Diplomat Pyonyang itu bagaimanapun berkata, mangsa yang diracun sehingga mati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 oleh dua penyerang pada 13 Februari lalu itu memang berasal dari Korea Utara dan memegang pasport diplomatik.

“AS dan Korea Selatan menyalahkan Korea Utara secara melulu dengan menyatakan mangsa mati akibat agen saraf VX,” kata In-ryong, me­rujuk kepada mangsa yang dikenal pasti pihak berkuasa Malaysia sebagai abang tiri Jong-un, Kim Jong-nam.

Duta Korea Utara itu berkata, Washington sebenarnya mahu me­ningkatkan kebencian antarabangsa dan mencetuskan provokasi perang nuklear ke atas Korea Utara.

Beliau mempersoalkan dari mana penyerang-penyerang berkenaan memperoleh senjata kimia yang diharamkan oleh PBB seperti agen VX dan berkata, AS mempunyai simpanan besar senjata haram itu.

In-ryong juga menyangkal dakwaan AS dan Korea Selatan bahawa penyerang tidak terjejas semasa menggunakan agen saraf VX terhadap mangsa sebagai ‘tidak munasabah’. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.