Myanmar Bakal Dapat Presiden Baharu Malam Ini

NAYPYITAW – Myanmar bakal mendapat presiden baharu hari ini apabila tiga calon bakal bersaing untuk jawatan itu setelah memperoleh kelulusan Parlimen pada Isnin.

 

Parlimen Myanmar akan membuat undian bagi memilih presiden baharu yang terdiri daripada kumpulan tiga calon.

 

Calon yang mendapat undian tertinggi akan menjadi presiden manakala dua lagi akan memegang jawatan naib presiden.

 

Htin Kyaw, 69, seorang graduan ekonomi mewakili Parti Demokrasi Liga Kebangsaan (NLDP) pimpinan ikon demokrasi Aung San Suu Kyi, dilihat sebagai calon pilihan untuk memenangi proses itu.

 

Bekas rakan sekolah Suu Kyi itu merupakan individu yang sering di sisinya ketika ikon itu dibebaskan daripada tahanan rumah pada 2010, selain pernah menjadi pemandu peribadinya.

 

Suu Kyi secara perundangan terhalang daripada menggalas sebarang jawatan tertinggi politik Myanmar kerana dia berkahwin dengan warganegara asing dan mempunyai anak dengan bangsa asing tersebut.

 

Ada sesetengah pihak melihat Suu Kyi seperti Sonia Gandhi di India, yang mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran Parti Kongres walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi kerajaan.

 

Dua calon lagi yang bakal memecah peratus undian ialah ialah Henry Van Yi yang dipilih Parlimen serta Myint Swe dari tentera.

 

Presiden baharu Myanmar yang terpilih nanti dijangka bertugas secara rasmi pada 1 April ini.

 

Parti pimpinan Suu Kyi itu menang besar dalam pilihan raya pada 8 November lalu dan ahli Parlimen dijangka mengesahkan pencalonan Htin Kyaw sebagai pemimpin baharu negara berkenaan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.