Video: Kehadiran PM Dan TunM Di Pentas Akhir LTDL 2015 Curi Perhatian

Kuala Lumpur – Selain kemeriahan acara kemuncak Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur petang tadi, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mencuri perhatian masyarakat.

 

 

Terdapat khabar angin sebelum ini yang mendakwa hubungan mereka agak tegang ekoran kritikan Dr Mahathir terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Dakwaan itu jelas meleset apabila mereka kelihatan mesra duduk bersebelahan ketika majlis penutup acara tersebut yang bermula pada 8 Mac lalu.

 

Perdana Menteri dan Dr Mahathir dilihat berbual ketika di atas pentas sebelum keduanya dijemput menyerahkan hadiah kepada pemenang LTDL.

 

Selepas bersama-sama menyampaikan hadiah dan menyarungkan jersi kepada pemenang mengikut kategori masing-masing, Dr Mahathir dan Najib turut duduk semeja untuk menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak penganjur.

 

Dalam majlis penutup itu Dr Mahathir ditemani oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah dan turut hadir bersama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyambut kedatangan tetamu khas itu.

 

Dr Mahathir ketika ditanya mengenai komen Tengku Razaleigh dilihat agak terperanjat dan enggan memberi sebarang jawapan.

 

“Ooohhh.. lain kali lah, lain kali,” katanya.

 

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah itu menulis diblognya, Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan Najib kerana perdana menteri itu mendapat sokongan padu.

 

Sementara itu, Dr Mahatihir turut diminta mengulas mengenai dua pesawat Jupiter Aerobatic Team, Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena LIMA ’15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.

 

Beliau mengesahkan kesemua juruterbang pesawat tersebut selamat kerana mereka sempat terjun untuk menyelamatkan diri masing-masing.

 

“Saya cuma dimaklumkan pesawat itu jatuh terhempas di atas rumah yang penghuninya hanya seorang. Namun penghuni rumah tersebut selamat, cuma dia (penghuni rumah) itu hanya bau asap sahaja,” ulasnya ringkas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.