Polis Reman Ketua Pemuda DAP, 2 Aktivis #KitaLawan

Polis hari ini menahan reman Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong kerana penglibatannya dalam perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac lalu, dan dua aktivis, Adam Adli Abdul Halim serta Mandeep Singh, kerana terlibat dalam “protes senyap” #KitaLawan semalam.

 

Peguam Wong Kah Woh memberitahu pihak polis memohon reman selama 4 hari bagi ketiga-tiga mereka di balai polis Jinjang hari ini.

 

“Polis meminta 4 hari untuk mereman mereka,” katanya ketika dihubungi.

 

Wong berkata, Teo akan diwakili Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Lim Lip Eng sementara Melissa Sasidaran dan Eric Paulsen pula mewakili Adam dan Mandeep.

 

Pagi semalam, Teo ditangkap sejurus selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberikan keterangan tentang penyertaannya dalam perhimpunan #KitaLawan.

 

Selain mendesak pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, protes itu turut mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.

 

Himpunan itu dianggarkan menarik sekitar 5,000 hingga 10,000 peserta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.