Pengantin Batal Majlis Kahwin, Bakal Suami Gagal Jawab Soalan Matemaik

New Delhi – Seorang pengantin perempuan di India meninggalkan majlis perkahwinannya selepas lelaki yang bakal dikahwininya gagal memberikan jawapan kepada satu soalan matematik yang mudah.

 

Insiden mengejutkan tersebut berlaku di sebuah kampung di Rasoolabad yang terletak di bandar industri Kanpur, Uttar Pradesh.

 

Pengantin perempuan telah menguji tahap kemahiran pengantin lelaki dalam matematik dan apabila dia menerima jawapan salah, pengantin perempuan tersebut terus pulang sekali gus membatalkan majlis.

 

Soalan yang ditanyakannya adalah: “Berapakah 15 campur enam?”

 

Pengantin lelaki menjawab: “17”.

 

Keluarga pengantin lelaki telah cuba memujuk pengantin perempuan itu agar kembali dan meneruskan upacara perkahwinan, namun pujukan itu tidak mengubah pendiriannya.

 

Pengantin perempuan itu berkata bahawa pengantin lelaki itu telah berbohong tentang tahap pencapaian pendidikannya.

 

“Keluarga pengantin lelaki telah menyembunyikan maklumat tentang tahap pendidikannya yang teruk. Budak darjah satu pun boleh jawab dengan mudah,” ujar bapa pengantin perempuan, Mohar Singh.

 

Polis tempatan telah dipanggil untuk bertindak selaku perantara dua keluarga tersebut. Akhirnya kedua-dua pihak bersetuju memulangkan kesemua hadiah dan barang kemas perkahwinan.

 

Kebanyakan perkahwinan di India diatur oleh keluarga pengantin.

 

Hal itu membuatkan kedua-dua calon yang hendak disatukan hanya sekadar bertemu sebentar dan langsung tidak mengenali antara satu sama lain sebelum majlis mengikat lafaz perkahwinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.