Muhd Rafiq, Sharon Juarai Kejohanan Boling Kebangsaan

Petaling Jaya – Pemain elit negara mempamerkan dominasi pada saingan ‘step-ladder’ Kejohanan Boling Kebangsaan ke-39 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway malam ini.

 

Dalam kategori lelaki, Muhd Rafiq Ismail ditentang sengit rakan sepasukan, Timmy Tan selepas terpaksa bermain dalam dua set sebelum dinobatkan sebagai juara kategori lelaki.

 

Perlawanan pertama menyaksikan Muhd Rafiq tewas 203-216 kepada Timmy dan pada perlawanan penentuan beliau mengatasi lawannya dengan 217-203.

 

“Kejayaan ini adalah permulaan yang baik untuk saya selepas baru secara aktif menjalani latihan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

“Ia satu permulaan yang baik untuk saya tahun ini,” kata Muhd Rafiq, yang juga pemenang tiga pingat emas Kejohanan Boling Antara Negeri yang menutup tirai, rabu lepas.

 

Beliau kembali menjalani latihan secara intensif selepas pulih daripada kecederaan retak tulang lengan kiri tahun lepas.

 

Muhd Rafiq, 18, terdahulu layak secara automatik ke final dan menjadi pemain pilihan pertama acara ‘step-ladder’ selepas muncul peserta terbaik dalam Terbuka Masters  dengan mengumpul 2,234 jatuhan pin.

 

Kategori wanita pula menyaksikan Sharon Koh berjaya membuktikan bahawa beliau kembali memperolehi rentak untuk bermain dengan baik selepas prestasi hambar dalam dua tahun kebelakangan ini.

 

“Ia satu pendorong semangat saya untuk terus mempertingkatkan prestasi dalam menghadapi lain-lain kejohanan selepas ini,” katanya.

 

Kejuaraan ini adalah yang ketiga buat dirinya selepas kali terakhir memenanginya pada 2006 dan 2008.

 

Pada perlawanan step-ladder akhir, beliau menghasilkan enam ‘strike’ berturut-turut pada awal saingan untuk  mengetapikan saingan seorang lagi pemain elit, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dengan 233-216.

 

Siti Safiyah terdahulu menewaskan penyandang juara, Sin Li Jane 223-205 pada saingan separuh akhir untuk  meneruskan saingan di peringkat akhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.