Hudud Hanya Sebahagian Kecil Dari Agama – PKR

Kuala Lumpur – PKR terus mengambil sikap mengunci mulut berhubung sokongannya terhadap hasrat PAS Kelantan untuk membuat pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di negeri itu.

 

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Dr Mohd Nur Manuty bagaimanapun menegaskan PKR kekal dengan konsensus ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) bahawa hudud tidak menjadi sebahagian persetujuan bersama mereka.

 

“Pendirian kita kena utamakan prinsip-prinsip di dalam PR. Itu pun sudah sebahagian dari syariah. Hudud itu sebahagian kecil sahaja, sebagaimana pandangan ulama muktabar dunia.

 

“(Pendirian) Sudah diputuskan di dalam PR, tak payah atas PKR semata-mata. Ini pandangan PR,” katanya kepada Antarapos.

 

PKR sebelum ini menyatakan persetujuan dengan DAP bahawa isu hudud bukan Dasar Bersama Pakatan Rakyat sekaligus membayangkan seloh-olah parti yang dipimpin Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan menyokong usul itu, Rabu ini.

 

DUN Kelantan dijadualkan membentang usul pindaan ini pada 18 Mac ini, walaupun menerima bantahan keras rakan sekutunya, DAP.

 

“Kita memang kena beriman dengan hudud, tapi ini isu kesesuaian masa. Ada keutamaan sepertimana yang disebut Yusuf Qardhawi untuk mengurangkan kemiskinan, menyediakan persekitaran perumahan, kebebasan manusia dan sebagainya,” ujarnya.

 

Manuty berkata demikian selepas diajukan pendirian PKR selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR) yang diadakan Khamis lepas gagal mencapai sebarang persetujuan mengenai pelaksanaan undang-undang Islam itu.

 

Semalam, ADUN tunggal PKR di Kelantan, Roslan Puteh memberitahu bahawa pendirian partinya untuk dibawa ke sidang DUN Kelantan yang akan diadakan pada Rabu ini sebagai ‘rahsia’.

 

Ia hanya akan diumumkan semasa beliau mengundi bersama ADUN parti lain apabila pindaan itu dibentangkan.

 

Roslan berkata undi tersebut akan berdasarkan kepada apa yang diputuskan melalui perbincangan bersama pimpinan parti.

 

Keputusan PKR samada menyokong atau menolak usul pindaan itu dijangka akan memburukkan lagi hubungan politik antara PAS dan PKR yang sebelum ini retak selepas krisis pelantikan Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.