Erin Malek Kesal Gambar Ultrasound’ Tersebar

BARU-baru ini ramai yang mengucapkan tahniah kepada pelakon remaja yang popular menerusi drama Misiku Kuza apabila dia disahkan hamil selepas hampir lima bulan mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Farriz Fauzy.

 

Lebih menarik, pelakon berusia 21 tahun ini dikatakan hamil anak kembar setelah gambar hasil ‘ultrasound’ kehamilan tersebut tersebar di internet.

 

Bagaimanapun, pelakon yang dikenali sebagai Erin Malek ini sebenarnya agak sedih dengan penyebaran gambar tersebut.

 

Katanya kepada Zass, dia tidak tahu bagaimana gambar itu boleh tersebar sedangkan dia hanya berkongsi mengenai gambar itu bersama keluarga terdekat sahaja.

 

“Saya tidak kisah berkongsi khabar kehamilan, tetapi penyebaran gambar tersebut membuatkan saya agak sedih.

 

“Lagipun saya masih di peringkat awal kehamilan, jadi saya belum bersedia untuk memberitahu atau mendedahkan mengenai kehamilan kembar ini,” katanya.

 

Akui pemilik nama Nur Arina Abdul Malek ini, banyak dugaan yang terpaksa dilaluinya setelah gambar tersebut didedahkan.

 

“Ada yang kata saya buat dan macam-macam lagi. Walhal semua ini rezeki dari ALLAH SWT. Tetapi mulut orang, saya tak boleh nak tutup.

 

“Sekarang saya lebih banyak mendiamkan diri dan tidak memikirkan sangat perkara tersebut,” katanya bersyukur dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

 

Pada masa sama, Erin gembira kerana suaminya banyak memberikan sokongan apabila dia hamil dan bakal menjadi ibu pada usia muda.

 

“Kami memang tidak pernah merancang bila hendak mempunyai anak. Tahu-tahu sahaja ALLAH sudah aturkan semua ini.

 

“Paling menggembirakan saya hamil anak kembar, bagi saya, semua ini telah ditentukan dan hanya Dia yang tahu apa yang dirancang untuk hambanya,” katanya penuh gembira.

 

Malah katanya, dia juga bersedia bergelar ibu muda sementelah sudah biasa melayan anak buahnya.

 

“Rasanya memang tidak kekok sebab saya rapat dengan anak buah yang masih kecil.

 

“Saya tiada halangan atau kesukaran untuk menjadi mereka inikan pula anak sendiri,” katanya.

 

Ditanya apakah dia mempunyai salasilah keluarga kembar, ujarnya, dia tidak pasti jika di sebelah keluarganya.

 

“Kalau sebelah suami saya memang ada, malah ayah dan ibunya sendiri mempunyai keturunan kembar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.