Tindakan PPBM Terima Bekas MP UMNO Hakis Kepercayaan Rakyat Kepada PH, Kata Pemimpin PKR

KUANTAN – Penerimaan tujuh bekas Ahli Parlimen (MP) UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibimbangi akan menghakis kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata PH seharusnya menghormati keputusan rakyat yang menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, selain tiada keperluan untuk menerima masuk MP tersebut.

“Jika keadaan berlaku seperti di Sabah iaitu pembentukan kerajaan baharu tergantung selepas keputusan pilihan raya lalu, jelas ia boleh difahami. Tapi situasinya (kita) sudah ada majoriti (untuk membentuk kerajaan).

“Lebih baik untuk kita fokus kepada pentadbiran dan menghormati keputusan yang dibuat manakala UMNO serta Barisan Nasional memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Berita Berkaitan;-

Tindakan PPBM Kutip ‘Sampah’ Tidak Lemahkan UMNO, Tapi Lunturkan Semangat PH – Rafizi

Kenapa Terima Sampah dan Katak UMNO? Dulu Mahathir Janji Tolak Golongan Ini – DAP

Ini Sudah Langgar Janji, Dr Mahathir Jangan Jadi Pengutip Sampah – Ronnie Liu

PH Bukan Tong Sampah, Jangan Terima Pemimpin UMNO Lompat Parti – Pemuda PH Sabah

Nik Nazmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pembukaan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung di sini, hari ini.

Beliau juga bimbang penerimaan anggota lawan ke dalam parti kerajaan akan menimbulkan persepsi kepada masyarakat khususnya golongan muda bahawa ‘undi mereka tidak bererti’.

“Kita bimbang mereka berpandangan tidak bermakna jika mereka mengundi parti kerajaan atau pembangkang kerana akhirnya semua akan menjadi parti kerajaan.

“Saya juga kasihan kepada bentara Parlimen kerana tugas mereka yang perlu menukar kedudukan kerusi setiap kali Parlimen bersidang,” katanya.

Nik Nazmi seterusnya menambah PH juga perlu memberikan komitmen kepada janji sebelum ini, sama seperti dalam melebarkan sayap Bersatu ke Sabah memandangkan kepimpinannya pernah menyatakan tidak akan ke negeri itu.

Kelmarin, media melaporkan tujuh MP menerima keahlian Bersatu daripada Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing).

Turut menerima keahlian itu ialah Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.