Doktor Pelatih Muat Naik Komen Jelik Terhadap Agong Dihadapkan Ke Mahkamah

KLANG: Seorang doktor pelatih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik melalui akaun laman sosial Facebook miliknya membabitkan Yang di-Pertuan Agong, dua tahun lalu.

Tertuduh, Dr Mohd Faiz Mohd Yusop, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain kira-kira jam 6 petang pada 16 Disember 2016.

Komen itu kemudiannya dibaca pada tarikh sama kira-kira jam 10.45 malam di sebuah restoran, Jalan Permai 1A, Taman Kota Pendamar, Pelabuhan Klang.

Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya yang mengendalikan kes memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, Dr Mohd Faiz yang diwakili peguam Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan abang tertuduh hanya mampu mengumpul wang sebanyak itu saja.

Tasnim membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 15 Mac ini. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.