Lebih 46,000 Murid Kafa Dapat 8A Dalam UPKK

PUTRAJAYA – Seramai 46, 461 daripada 194,258 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2016 memperolehi semua A (cemerlang) bagi lapan mata pelajaran.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada sidang media di sini berkata, jumlah calon yang memperoleh 8A itu meningkat empat peratus berbanding 2015 iaitu seramai 37,271 murid.

 

“Seramai 22,572 calon memperoleh 7A manakala 21,774 calon lagi mendapat 6A. Pelaksanaan UPKK untuk murid tahun lima kelas KAFA membabitkan lapan mata pelajaran diduduki.

 

“Tiada calon mendapat semua D (lulus tidak mencapai tahap minimum) bagi semua mata pelajaran tahun ini,” katanya pada sidang media pengumuman UPKK 2016 di sini, hari ini.

 

Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

 

Jamil Khir seterusnya berkata, pencapaian secara keseluruhan UPKK 2016 mencatatkan kelulusan 100 peratus untuk tahun ketiga berturut-turut sejak 2014.

 

“Daripada itu, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti Bidang al-Quran dengan 99.6 peratus lulus.

 

“Pencapaian ini sekali gus menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian,” kata Jamil Khir lagi.

 

Sebanyak 197,623 calon mengambil lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat; Penghayatan Cara Hidup Islam; al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Jawi dan Khat; Sirah; Adab (Akhlak Islamiah) dan Bahasa Arab.

 

Semakan keputusan UPKK boleh dibuat melalui dalam talian http://semakan.islam.gov.my atau SMS ke 15888 bermula 11 pagi hari ini hingga 11 pagi 21 Februari. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.