Bersatu Beri Pas Masa Sebulan Lagi

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi tempoh sebulan lagi kepada Pas untuk membuat keputusan sama ada mahu bekerjasama dengannya serta blok pembangkang lain atau sebaliknya.

 

Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad berkata, pihaknya masih memberi masa kepada parti tersebut demi memberikan peluang cerah kepada blok berkenaan untuk memenangi PRU14 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

 

“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh tunggu Pas buat keputusan dalam tempoh yang lama. Kita sudah beri masa lama pada mereka untuk buat keputusan.

 
“Banyak kerja lagi kami perlu buat untuk persiapan menjelang PRU14. Takkan kita nak tunggu selama-lamanya untuk mereka buat keputusan,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Perlantikan Watikah Ketua-ketua Bahagian Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana, petang tadi.

 

Tambah Mahathir, beliau tidak yakin Pas boleh memenangi PRU14 secara majoriti jika dilihat kepada jumlah kerusi yang ditandingi parti itu pada pilihanraya lalu.

 

“Umno sendiri memerlukan BN yang turut dianggotai oleh beberapa parti lain bagi memenangi setiap PRU.

 

“Kini, terpulang kepada Pas untuk buat keputusan ini. Memberi kemenangan kepada BN ibarat memberi sokongan kepada mereka,” tegasnya.

 

Sementara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyddin Yasin pula berkata, pihaknya tidak akan mendesak Pas untuk membuat keputusan muktamad.

 

Menurutnya, Bersatu sudah melakukan pelbagai cara bagi memujuk parti berkenaan untuk bekerjasama dengan partinya serta parti pembangkang yang lain.

 

Dalam majlis penyerahan watikah, kira-kira 120 ahli Bersatu yang menerima watikah perlantikan ketua bahagian di semua negeri dalam Semenanjung Malaysia.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.