Ajal Tiga Sahabat Serentak

 

JELI – Perjalanan tiga sahabat untuk ke Gerik, Perak berakhir tragedi selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung de­ngan sebuah lori yang membawa muatan motosikal di Batu 8 Lebuh Raya Timur Barat, Jalan Jeli-Gerik di sini semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, ketiga-tiga mangsa iaitu Abdul Hakam Nordin, 20; Tuan Mohd. Fareez Tuan Hazani, 26; dan Mohamad Aliff Nadehar Abdul Karim, 26, maut di tempat kejadian kerana ke­cederaan parah akibat tersepit.

 

Kereta dinaiki kesemua mangsa dari arah Kok Lanas, Kota Bahru itu melalui Jeli untuk menjemput adik ipar kepada Tuan Mohd. Fareez dikenali sebagai Tuan Azrin yang menetap di Gerik.

 

Difahamkan, kereta yang dipandu Abdul Hakam itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori tersebut.

 

Menurut bapa Tuan Mohd. Fareez, Tuan Hazani Tuan Muda, 48, anaknya bertolak dari Kok Lanas pada pukul 5 pagi.

 

 

“Saya tidak menyangka pertemuan kelmarin sebelum dia bertolak ke Gerik adalah pertemuan yang terakhir.

 

 

“Dia sepatutnya pergi ke Kota Bharu hari ini (semalam) kerana mempunyai urusan mahkamah di sana. Saya hanya mengetahui dia terlibat kemalangan setelah dihubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui di Hospital Jeli (HJ) di sini semalam.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.