Adele Tak Sengaja Dedah Sudah Berkahwin

LOS ANGELES: Penyanyi, Adele, 28, secara tidak sengaja mendedahkan sudah mengahwini pasangannya, Simon Konecki, ketika membuat ucapan kemenangan bagi Album Terbaik pada Anugerah Grammy, semalam.

 

“Grammy, saya menghargai pengiktirafan ini. Saya sayang anda semua, pengurus saya, suami saya, anak saya. Kamulah sebabnya saya berada di sini,” kata Adele yang membolot lima trofi pada anugerah terbabit.

 

Sudah pasti suami yang dimaksudkan ialah Konecki merangkap ayah kepada anak tunggal mereka, Angelo, 4, apatah lagi kedua-duanya menjalinkan cinta sejak 2011.

 

Desas-desus mengenai perkahwinan rahsia pasangan terbabit mula bertebaran pada Disember lalu selepas Adele dilihat mengenakan sebentuk cincin istimewa, tetapi tiada pihak memberikan pengesahan termasuk wakil pengurusannya.

 

Begitupun, difahamkan selepas acara penganugerahan berprestij yang berlangsung di Staples Center itu berakhir, beliau dikatakan kembali menyebut Konecki sebagai ‘teman’.

 

Terdahulu, Adele membawa pulang kelima-lima trofi bagi kategori yang meletakkan album 25 dan lagu Hello sebagai calon, termasuk Rakaman Terbaik, Lagu Terbaik, Persembahan Pop Solo Terbaik dan Vokal Solo Pop Terbaik.

 

Beliau sekali gus mengulangi sejarah Grammy apabila menjadi satu-satunya pemenang kategori utama iaitu Album, Rakaman dan Lagu Terbaik sebanyak dua kali selepas meraih pengiktirafan sama lima tahun lalu.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.