Video : ‘Saya Hampir Putus Asa Dan Menangis’ -Shahrom

KUALA LUMPUR – “Saya hampir putus asa dan menangis,”kata Penjelajah negara ke Kutub Selatan, Shahrom Abdullah di Majlis Meraikan Wira Negara Ekspidisi Merentas Kutub Selatan, disini, tengahari tadi.

 

Menurut anak peneroka Felda Ciku 2, Wilayah Gua Musang, Kelantan ini berkata, sebaik sahaja memulakan ekspidisi pada 9 Disember tahun lalu beliau mengambil masa 37 hari 4 jam untuk sampai ke titik pusat Kutub utara itu hanya dengan berbekalkan kata-kata semangat.

 

“Selama berada di sana, yang situasinya sentiasa cerah 24jam, saya cekalkan hati. Tidur pun kena tutup muka. Di sana sangat mencabar, saya mengalami sesak nafas. Saya hampir putus asa dan menangis. Saya dengar balik rekod-rekod dan kata-kata semangat yang diberikan keluarga dan rakan seperjuangan KE7B untuk menaikkan kembali semangat saya. Akhirnya saya berjaya merentas misi ini, sekali gus menonjolkan 8 anak felda yang berjaya.

 

“Selepas ini andai kata diberikan peluang lagi, saya akan menyahutnya. Saya juga bersedia untuk bekerjasama menjadi penceramah motivasi. Bagi saya tiada apa yang mustahil untuk dicapai walaupun berbagai cabaran di hadapan,”katanya.

 

Shahrom yang menamatkan cabaran tersebut pada 16 Januari lalu sekali gus berjaya menyelesaikannya dalam tempoh singkat. Beliau menyelesaikan misi tersebut dengan hanya berski dan Messner Inlet ke titik sifar darjah Kutub Selatan pada jarak sejauh 890 kilometer.

 

Menurut penasihat ekspidisi, Datuk Akmar Hisham Mokhles, Shahrom bukan sahaja berjaya menamatkan misi itu, malah melakukannya dalam tempoh yang lebih singkat berbanding jangkaan awal iaitu 60 hari.

 

“Kejayaan dan pencapaian Shahrom ini wajar menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia kerana Shahrom turut menjadi rakyat Malaysia yang pertama melakukan ekspedisi merentas Kutub selatan sejauh hampir 1000 kilometer dengan cuma menggunakan ski,”katanya.

 

Menurutnya, anak jati Felda Chiku berusia 36 tahun itu merupakan seorang daripada atlet sukan lasak dualthon dan triathlon negara.

 

Sementara itu, menurut Presiden KE7B, Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin atau Qobin berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur kerana satu lagi kejayaan yang dilakar oleh KE7B selaku pengelola misi ekspidisi itu.

 

“KE7B sebelum ini telah melahirkan 24 ikon negara iaitu seorang daripadanya pendaki 7 benua, 7 perenang selat Inggeris, 7 pendaki Everest, 8 penjelajah Greenland dan seorang penjelajah Kutub selatan,”katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Shahrom berhasrat untuk melakukan pendakian ke 14 puncak gunung, yang kebanyakannya terletak di Banjaran Himalaya.

 

Terdahulu, Shahrom menerima replika cek bernilai RM20,000 daripada Felda atas kejayaan menamatkan misi tersebut.- SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.