Tentera Israel Tembak Mati Gadis Palestin

TEBING BARAT – Pasukan keselamatan Israel terus bertindak di luar batas kemanusiaan apabila menembak mati remaja perempuan berusia 17 tahun, mengakibatkan mangsa me­ninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran masjid di Hebron, kelmarin.

 

Sama seperti insiden-insiden sebelum ini, rejim Zionis menggunakan alasan sama, mendakwa gadis itu, Kalzar al-Uweiwi cuba menikam seorang tenteranya.

 

Lebih menyayat hati, mangsa dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah berdasarkan penemuan buku-buku di dalam beg galasnya.

 

Jenazahnya juga berlumuran darah selepas mangsa dilapor tidak dibenarkan menerima rawatan perubatan sejurus ditembak.

 

Insiden tersebut turut dipersoalkan ahli keluarga mangsa memandangkan tiada kecederaan dilapor pada anggota tentera yang kononnya cuba ditikam Kalzar.

 

Pendakwa raya di Pejabat Pendakwa Raya Awam Hebron, Ashraf Mishal berkata, bedah siasat terhadap jenazah mangsa menunjukkan gadis itu maut akibat tiga das tembakan yang mengenai paru-paru serta lehernya.

 

“Mangsa maut akibat pendarahan. Dia mungkin selamat jika diberi rawatan awal,“ katanya se­perti laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat.

 

Dalam satu lagi insiden, dua remaja lelaki ditembak mati oleh tentera rejim semalam, hanya kerana didakwa melontar batu ke arah sekumpulan askar Israel.

 

Tentera Israel dalam satu ke­n­ya­taan memberitahu, Nihad Waked dan Fuad Waked, kedua-duanya berusia 15 tahun, ‘menyerang’ as­karnya di Jenin, menyebabkan mangsa dibunuh kononnya atas alasan mempertahankan diri.

 

Sejak 1 Oktober lalu, pihak keselamatan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 173 warga Palestin termasuk orang awam serta penunjuk perasaan yang tidak bersenjata. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.