Rujuk Husam Ke Tatatertib Untuk Disiplinkan Ahli Pas – Hassan

KOTA BHARU – Keputusan mengheret bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menghadap Jawatankuasa Tatatertib parti perlu dilakukan kerana tindak-tanduknya selama ini dilihat sering bercanggah dengan peraturan parti.

 

Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Datuk Hassan Mahmood berkata, pendekatan itu wajar kerana bertujuan mendisiplinkan setiap ahli supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh merugikan parti.

 

“Saya katakan ini bukan merujuk beliau (Husam) sahaja, malah ahli lain juga.. jika langgar peraturan, patut segera dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib sebelum melarat.

 

“Ini bukan perkara baharu ke­rana sebelum ini pun, Pas sudah beberapa kali mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli yang tidak berdisiplin,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 

Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Husam bakal dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan nasibnya akan ditentukan dalam masa terdekat.

 

Husam yang merupakan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian dilihat sering mengkritik parti, terutama selepas tewas pada muktamar tahun lalu.

 

Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berkongsi pentas dengan pe­mimpin PAN yang merupakan musuh baharu Pas dan menggunakan platform itu untuk memburuk-burukkan pucuk pimpinan partinya sendiri.

 

Antaranya, beliau mempersoalkan pelantikan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sebagai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI).

 

Beliau turut mendesak Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Setiausaha Agung Pas. Datuk Takiyuddin Hassan meletak jawatan ke­rana gagal melaksanakan hudud di Kelantan.

 

Mengulas lanjut, Hassan berkata, beliau yakin Pas tidak akan terjejas dan menjadi lemah hanya kerana mengambil tindakan disip­lin ke atas bekas pemimpin yang popular seperti Husam.

 

“Pas memang tidak pilih bulu dan saya juga tidak fikir tindakan ke atas beliau boleh melemahkan parti. Tindakan ini sebenarnya bakal menguatkan lagi parti dari dalam,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.