Pas kena tunjuk bukti Amanah sertai semula Pas

SHAH ALAM – Pas dinasihatkan jangan ikut cara Umno yang mendakwa ahli Parti Amanah Negara (Amanah) kembali ke pangkuan Pas.

 

Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Pas perlu mengusulkan bukti bahawa ahli Amanah yang didakwa kembali ke pangkuan mereka.

 

“Individu yang didakwa itu mungkin ahli Pas, sebelum ini dia mengikut program Amanah, dia buat kejutanlah masuk Pas.

 

“Kita mahu tahu berapa ramai ahli Amanah yang didakwa kembali ke pangkuan Pas itu, kita juga mahu melihat permohonan mereka yang didakwa keluar Amanah,” katanya.

 

Sebelum ini, pucuk pimpinan Pas mengesahkan ada bekas ahli Pas yang sertai Amanah mahu kembali ke pangkuan parti.

 

Namun, Pas enggan mendedahkan nama-nama bekas ahlinya itu sebelum tiba waktunya.

 

Menurut Siti Mariah, individu yang jadi ahli Amanah mesti ada nombor ahli.

 

“Kalau ikut proses, ikut perlembagaan Pas sekali pun, jika kita jurus parti lain, makna dengan sendiri terlucut keanggotaannya.

 

“Jangan main permainan Umno, bila apa-apa hal, sekumpulan individu didakwa keluar parti lain masuk Umno, kadang-kadang dua tiga kali masuk Umno,” katanya.

 

Menurutnya, Amanah bukan memaksa orang ramai untuk menyertai parti tersebut.

 

“Kalau dia tidak mahu bersama Amanah, kami lebih mempercayai kepada hak individu tersebut untuk memilih, kami juga tidak akan mengatakan kalau dia keluar Amanah, dia keluar Islam atau akidahnya lari.

 

“Ia adalah pilihan anda, anda sudah melihat Amanah macam mana, itu keputusan anda, saya merupakan individu demokratik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

 

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, pihaknya berharap tidak ada pertembungan dengan Pas dalam PRU14.

 

“Kami mahu satu lawan satu, Pas dari awal-awal lagi buat kenyataan tidak mahu bersama dengan Pakatan Harapan kerana ada Amanah, ia adalah pilihan mereka, terpulang kepada mereka.

 

“PRU14 ini tidak semudah yang disangka seperti PRU yang lalu,” katanya.

 

Siti Mariah berkata, Biro Pilihan raya Amanah akan berbincang untuk memilih calon untuk bertanding dalam PRU14.

 

“Orang bebas bercakap soal calon, namun keputusannya kena tunggu PRU14,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.