Malaysia tetap ke Rio

KUALA LUMPUR – Malaysia tetap akan menghantar kontinjen ke Sukan Olimpik Rio, Ogos ini meskipun penganjuran temasya sukan berprestij itu berdepan risiko penularaan virus Zika kritikal.

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sentiasa memantau perkembangan semasa virus pembawakan nyamun aedes itu dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang kata putus.

 

Katanya, sehingga kini masih belum ada sebarang negara yang menghantar laporan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menarik diri daripada menyertai Sukan Olimpik.

 

“Buat masa ini tidak ada sebarang keputusan untuk tidak menghantar kontinjen negara ke Sukan Olimpik.

 

“Tiada negara yang membuat laporan kepada IOC untuk tidak hadir dan sama seperti Malaysia, kita akan pantau keadaan ini.

 

“Kita masih ada tempoh lima bulan lebih untuk Sukan Olimpik, kita akan terus memberi perhatian kepada perkembangan isu virus itu dengan pihak Brazil,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

 

Sebelum ini MOM yakin antara 20 dan 25 atlet negara berpeluang untuk layak.

 

Selain badminton dan memanah, atlet negara daripada sukan lain seperti terjun, berbasikal dan golf mempunyai peluang layak.

 

Setakat ini enam atlet telah melayakkan diri secara merit, dengan empat daripada mereka daripada terjun iaitu Pandelela Rinong, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee, manakala Khairul Anuar Mohamad memanah dan Jonathan Wong menembak.

 

Penularan virus Zika, terutama di negara Amerika Selatan menimbulkan kerisauan dalam kalangan atlet serta pelancong yang ingin ke Rio.

 

Virus itu dikaitkan dengan kecacatan bayi yang baru lahir dengan 30 negara dilaporkan sudah dijangkiti wabak tersebut berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.