Dr. Vida raih pengalaman ‘unik’

IPOH – Sejak memilih untuk melibatkan diri dalam kancah bola sepak Malaysia, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman telah mencetus fenomena kerana tampil bersama pelbagai idea unik yang sebelum ini tidak pernah difikirkan oleh orang lain.

 

Namun kelmarin, Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Dr. Vida sendiri meraih pengalaman yang amat unik dalam hidupnya, apabila duduk di bangku simpanan pemain untuk menonton aksi pembukaan Liga Super di antara Kelantan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh.

 

Pengasas Vida Beauty itu berkata, kehadirannya di bangku simpanan adalah untuk memberi sokongan penuh kepada pemain pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), yang berjaya pulang bersama satu mata daripada perlawanan tersebut selepas mengikat tuan rumah 0-0.

 

Duduk di bangku simpanan pemain sesuatu yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh hartawan kosmetik itu sebelum ini, namun kemunculannya kelmarin nyata ‘menggamatkan’ ribuan penonton di stadium dan memberi kelainan kepada liga bola sepak tempatan.

 

“Duduk di bangku simpanan ini lebih selesa. Permohonan untuk duduk di sini dibuat sejak beberapa minggu lalu tetapi dalam dua ke tiga hari lepas baharu permohonan diterima.

 

“Saya perlu berada di situ (bangku pemain) untuk beri sokongan kepada mereka,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan.

 

Menurut Dr. Vida, beliau ber­puas hati dengan corak permainanan PQPTRW dan menyifatkan perlawanan semalam sebagai perlawanan bermaruah.

 

Katanya, barisan pemain pasukan itu juga mempamer aksi cemerlang walaupun terdapat beberapa serangan yang dilihat kurang menjadi.

 

“Bagi perlawanan malam ini, saya memang berpuas hati sebab saya lihat permainan kita tidaklah kena ‘goreng’. Apa pun permainan untuk malam ini adalah pembukaan yang baik,” katanya.

 

Terdahulu, kemunculan Dr. Vida yang mengenakan seluar jeans dan jersi berwarna merah jambu pada perlawanan tersebut berjaya mencuri perhatian penonton.

 

Penaja utama pasukan Kelantan itu juga dilihat beberapa kali ‘cemas’ dan berdiri ketika pemain pa­sukan kelantan mengasak gawang skuad Bos Gaurus. -UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.