UMNO Perlu Beri Laluan Pada PAS Di DUN Chempaka

BERDASARKAN perkembangan semasa, apa kata kita anjurkan supaya Umno beri laluan kepada Pas kekalkan DUN Chempaka sekali gus pentadbiran negeri Kelantan.

 

Sebagai tanda persahabatan, Pas pula memberi sokongan kepada Umno bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh.

 

Di peringkat kerajaan pusat, kita anjurkan kerajaan perpaduan dibentuk dari kalangan pemimpin terbaik dari parti-parti politik siasah, aktivis masyarakat, penggerak NGO, alim ulama, ketua masyarakat dan semua pihak yang membentuk komuniti rakyat Malaysia.

 

Kepada teman-teman yang bukan Islam, usahlah bimbang, sejarah Tamadun Islam sejak zaman Khalifah, Uthmaniah dan Abbasiyah membuktikan bahawa kerajaan Islam yang kuat pastinya menerbitkan perasaan ehsan dan kasih sayang terhadap warganegara bukan beragama Islam.

 

Islam adalah agama untuk semua manusia. Islam adalah Rahmat buat sekalian alam. Islam adalah pelopor kepada kedamaian dan kasih sayang sesama insan.

 

Pemimpin-pemimpin dari pelbagai kaum dan agama pasti dilibatkan dalam pentadbiran kerajaan kerana fitrah Malaysia sebagai negara majmuk adalah amat istimewa dan mesti dipertahankan.

 

Negara kita pernah menikmati keamanan dan kesejahteraan sejak sekian lama, namun kini majoriti rakyat dahagakan nikmat yang sudah lama hilang itu.

 

Rakyat kita sudah amat dikelirukan dengan amalan politik taksub melulu yang amat merugikan sehingga masyarakat berbilang kaum semakin mencurigai, manakala yang sesama bangsa dan agama juga turut saling membenci.

 

Pasti ramai yang teringatkan Firman Allah dalam Al-Quranul Karim.

 

“Berpeganglah kamu sekalian pada tali Allah (agama Islam) dan usahlah sekali-kali kamu berpecah-belah…”.

 

Kepada Allah jua kita berserah.

 

 

Khairul Anwar Rahmat
Pengerusi SukaGuam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.