Suzuki Gladius ABS, V-Strom 650 ABS dan V-Strom 650XT ABS

Kuala Lumpur – Penyertaan Suzuki dalam arena pasaran motosikal berkuasa tinggi di Malaysia sebenarnya agak lewat.

 

Ketika jenama motosikal dari Jepun seperti Kawasaki, Honda dan Yamaha sudah pun memperkenalkan pelbagai model terbaharu masing-masing, Suzuki seolah-olah masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

 

Mungkin hanya selepas kajian pasaran yang terperinci dibuat, pengedar motosikal jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) akhirnya cuba menimbulkan impak apabila memperkenalkan empat jentera berkuasa tinggi pada Mac 2014.

 

Bertempat di di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, model-model yang diperkenalkan ialah HAYABUSA 1300, GSX1250FA, GSX-R1000 ABS dan V-STROM 1000 ABS. Beberapa bulan kemudian, model GSR750 pula menyertai barisan produk yang ditawarkan.

 

Kini, perhatian diberikan kepada model segmen pertengahannya pula. Hasilnya, Suzuki Assemblers melancarkan tiga model yang cukup menarik iaitu Suzuki Gladius ABS, V-Strom 650 ABS dan V-Strom 650XT ABS.

 

Biarpun ketiga-tiganya mempunyai enjin bersesaran 650cc, setiap model itu bagaimanapun memenuhi keperluan penunggang berbeza menerusi tarikannya yang tersendiri.

 

SONY DSC

 

Kesemua motosikal ini dibawa dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Apa yang lebih menarik lagi, harga yang ditawarkan cukup kompetitif dan hampir menyamai model-model pemasangan tempatan (CKD)!

 

Pengarah Urusan, Suzuki Assemblers, Toru Kobayashi memberitahu pihak berusaha keras untuk mendapatkan harga sebegitu. Beliau juga mengakui keadaan Ringgit yang lemah turut menjadi penyumbang kepada kejayaan pelaksanaan harga tersebut.

 

Suzuki Gladius 650 ABS ditawarkan pada harga RM39,900 seunit. Sementara model  V-Strom 650 ABS dan V-Strom 650XT ABS masing-masing berharga RM41,900 serta RM43,900 sebuah. Walaupun ini cuma harga asas (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan yuran pendaftaran) ia masih boleh dianggap murah.

 

“Kami mensasarkan untuk menjual sekitar 100 unit bagi setiap model baharu ini pada tahun 2015. Kami yakin dapat mencapai sasaran itu kerana pada tahun lalu, lebih 200 unit motosikal berkuasa tinggi Suzuki berjaya dijual,” jelas Kobayashi sambil menyatakan bahawa beliau dapat merasakan bahawa model V-Strom 650XT akan menjadi model yang paling laris.

 

Gladius 650 ABS ialah sebuah motosikal jenis naked yang dikuasakan oleh unit enjin  645cc V-Twin. Bagi menyerlahkan konsep reka bentuk yang elegan dan sporty, pasukan  jurutera Suzuki menggunakan kerangka jenis trellis, tangki bahan api dengan dua tona warna, lampu sport dan banyak lagi.

 

Ketika mengujinya di litar go-kart di Stadium Shah Alam, Gladius 650 ABS sememangnya sebuah jentera yang mudah dikendalikan. Tempat duduk tidak terlalu tinggi dan suspensinya boleh dilaras mengikut kesesuaian. Motosikal itu juga ringan dan paparan intrumentasinya mudah dibaca.

 

SONY DSC

 

Kuasa enjin dapat diekstrak dengan mudah pada julat rpm yang rendah dan sederhana. Dengan karekter sebegitu, Gladius 650 ABS cukup sesuai untuk penunggang novis mahupun berpengalaman. Jentera itu hadir dalam pilihan warna putih dan hitam.

 

Suzuki V-Strom 650 ABS dan Suzuki V-Strom 650XT ABS termasuk dalam kategori Sport Adventure Tourer. Sejak dilancarkan pada tahun 2004, Suzuki V-Strom 650 ABS nyata diterima baik di seluruh dunia. Malah, ia mencatat jualan terlaris untuk segmen sport adventure bersesaran 650-800cc berbanding jenama dari Jepun dan Eropah yang lain sepanjang sedekad  lalu.

 

Suzuki V-Strom 650XT ABS ialah sebuah model baharu tahun 2015. Ia dibina  untuk pelanggan yang gemar menunggang dalam jarak jauh. Walaupun berkongsi konfigurasi enjin 645cc V-Twin dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan yang sama,  kedua-dua model ini tetap mempunyai perbezaan tersendiri.

 

Salah satu perbezaan utama ialah Suzuki V-Strom 650XT ABS mempunyai ‘paruh’ pada bahagian hadapannya.

 

Tahukah anda, Suzuki ialah perintis yang memulakan  revolusi reka bentuk paruh itu.

 

SONY DSC

 

DR-Z yang dilancarkan oleh Suzuki pada tahun 1988 ialah model pertama mempunyai paruh. Kini, hampir semua pengeluar motosikal mengaplikasikan rekaan tersebut untuk jentera touring mereka.

 

Satu lagi perbezaan ialah model ini dipasang dengan rim aluminium dengan jejari dawai. Roda itu kelihatan lebih sporty. Ia juga mampu meningkatkan aspek pengendalian dan memiliki prestasi penyerap hentakan yang lebih baik.

 

Suzuki V-Strom 650 ABS dan Suzuki V-Strom 650XT ABS ditawarkan dengan aksesori kompartmen buatan plastik dan aluminium. Kotak penyimpanan itu direka khas agar selari dengan titik graviti motosikal dan tidak menganggu pengendalian. Ia cukup besar untuk menyimpan topi keledar dan barangan peribadi untuk perjalanan selama beberapa hari.

 

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh beberapa aksesori lain termasuklah  penghadang enjin aluminium, penutup rantai, lampu kabus LED, centre stand, soket 12-volt, kit penggera dan pemegang peranti navigasi.

 

Kobayashi menasihatkan para pelanggan supaya membeli motosikal Suzuki daripada pengedar sah. Alasan utamanya, pelanggan akan diberi khidmat selepas jualan yang jauh lebih baik dan alat ganti tulen. Malah, spesifikasi motosikal adalah menepati piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – The Rakyat Post

 

Pernah menulis sebuah buku bertajuk Honda Civic: Ikon Produksi Massa bersama seorang rakannya, AHMAD SYUKRAN juga merupakan editor/pengasas laman web pemotoran berbahasa Melayu: www.mekanika.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.