Stesen Minyak Dirompak 2 Lelaki Bersenjata, Kerugian RM5,000

Nibong Tebal – Seorang pemilik stesen minyak kerugian RM5,000 selepas disamun dua lelaki di kedainya di Jalan Bukit Tambun, malam tadi.

 

Jurucakap polis berkata, dua lelaki bertopi keledar masuk ke stesen minyak itu pada 11.10 malam dan melarikan wang tunai RM5,000 daripada pejabat dan mesin daftar tunai stesen minyak berkenaan.

 

“Seorang lelaki bersenjatakan pistol memasuki pejabat pemilik stesen minyak itu dan mengarahkan pemilik stesen itu menyerahkan wang tunai kepadanya manakala seorang lagi bersenjatakan pisau menunggu di kaunter dalam stesen minyak itu.

 

“Bimbang dicederakan, pemilik stesen minyak berusia 49 tahun itu menyerahkan wang tunai RM4,000 kepada lelaki terbabit. Kedua-dua mereka melarikan diri dengan sebuah motosikal,” katanya hari ini.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Wan Hassan Wan Ahmad ketika dihubungi berkata, hasil siasatan mendapati dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu menaiki motosikal Yamaha FZ  biru hitam menuju ke arah Nibong Tebal.

 

Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak dan kawasan itu bagi mengesan dua lelaki terbabit, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.