PKR Akui Tidak Pernah Bersedia Untuk PRK Permatang Pauh

Georgetown – PKR Pulau pinang hari ini mengaku parti itu tidak pernah bersedia untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh kerana menjangkakan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bebas daripada sabitan kesalahan meliwat.

 

Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata sebelum ini, parti itu yakin Anwar yang merupakan ketua umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh akan menang dalam kes rayuannya.

 

Abdul Malik yang juga pengarah pilihan raya Pulau Pinang berkata segala persiapan parti sebelum ini adalah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

 

“Sekarang kami menukar mood persiapan untuk menghadapi PRK Permatang Pauh dan yakin parti akan mampu mengekalkan majoriti kemenangan lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Selasa lepas, Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

 

Mahkamah itu mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan.

 

Dengan keputusan itu, Anwar, 67, hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.