Ops Bersepadu JPJ Di Pulau Pinang, 251 Saman Dikeluarkan

Georgetown – Sejumlah 251 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sempena perayaan Tahun Baharu Cina dalam tempoh 3 hari sejak Khamis lepas.

 

Pengarah JPJ negeri Datuk Hassan Yaacob berkata operasi yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar itu memeriksa 331 kenderaan termasuk 111 bas ekspres.

 

“Daripada jumlah itu sebanyak 89 kenderaan diambil tindakan termasuk 31 kes membabitkan bas ekspres dalam pemeriksaan di Terminal Bas Sungai Nibong dan Butterworth.

 

Antara kesalahan dikesan ialah tiada pemandu kedua, tayar haus, cermin retak dan seorang pemandu di Butterworth dikesan positif dadah jenis syabu,” katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang malam tadi.

 

Beliau berkata 3 motosikal turut disita kerana cukai jalan tamat tempoh selain 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an dan 30-an didapati positif dadah dalam operasi setakat pukul 12 tengah malam tadi.

 

Hassan berkata sebanyak 57 kes turut dikesan menerusi penyamaran oleh anggotanya bagi merakam bukti bergambar pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan operasi itu akan diteruskan di seluruh Pulau Pinang sehingga 27 Februari ini.

 

Beliau berkata antara kesalahan lazim yang dilakukan ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan tidak memakai topi keledar.

 

Katanya notis siasatan akan dikeluarkan kepada pemilik berdaftar kenderaan terlibat sebelum saman dikeluarkan dengan kadar maksimum RM300 bagi setiap kesalahan.

 

Hassan turut mengingatkan pemandu kenderaan berat kategori pertama seperti lori balak dan lori pembawa kenderaan melebihi 5,000 kg supaya tidak menggunakan jalan raya pada 17, 18, 21 dan 22 Februari ini atau tindakan penguatkuasaan akan diambil.

 

Beliau berkata lori kontena atau kargo yang membawa barang-barang elektronik dan elektrik bagaimanapun dibenarkan beroperasi daripada pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam dalam tempoh berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.