Khalid Yakin Dalang Insiden Bakar Kereta Hatta Ramli Adalah Musuh PAS

Petaling Jaya – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad yakin insiden bakar kereta Dr Hatta Ramli yang dilakukan awal pagi tadi bukan didalangi oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap pemimpin itu.
Beliau percaya kejadian itu adalah satu tindakan provokasi oleh musuh-musuh PAS yang cuba memburukkan lagi masalah dalaman parti itu.
“Apabila masalah dalaman parti diketahui umum, musuh-musuh kita akan mengeksploitasi dan membuatnya kelihatan seolah-olah ia adalah hasil daripada persengketaan dalaman,” kata Khalid dipetik The Star Online.
Terdahulu, kereta Dr Hatta yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat cuba dibakar oleh individu tidak dikenali.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi tadi di kediaman Ahli Parlimen Kuala Krai itu di Hulu Kelang, individu tidak dikenali dalam sebuah kereta dikatakan cuba membakar kereta Dr Hatta, namun ia disedari pengawal bertugas yang membunyikan hon motosikalnya.
Insiden itu dikatakan telah dilakukan oleh penyokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ahad lalu, penyokong Abdul Hadi menuduh Hatta dan beberapa pemimpin PAS yang lain berpakat untuk menjatuhkan presiden berkenaan.
Sekumpulan ahli PAS, yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadli Ahmad, juga mengadakan bantahan di luar ibu pejabat parti itu Ahad lalu menuntut peletakan jawatan Hatta.
Bagaimanapun, Khalid percaya orang-orang yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu tidak akan mengambil jalan keluar yang keterlaluan seumpama itu.
“Saya ragu mana-mana ahli PAS akan berkelakuan sedemikian. Ia bukan budaya kita. Walaupun demonstrasi minggu lepas adalah sangat bodoh.
“Mereka hanya cuba untuk menggambarkan diri mereka sebagai mempertahankan kepimpinan ulama dan Presiden, kerana ia adalah tahun pilihan raya (untuk parti),” katanya.  – AntaraPos

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.