Kereta Rempuh Lori, 4 Sahabat Maut

Muar – Empat sahabat maut selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebuah lori yang membawa barangan sejuk beku dalam satu kemalangan di Kilometer 12 Jalan Muar-Ayer Hitam di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob berkata kesemua yang maut di tempat kejadian dalam insiden pukul 1.40 tengah hari itu dikenali sebagai Tan Wei Oon, 18; Loh Yi Wei, 19; Tin Seing Kit, 19, dan Lee Ping Meng, 22, yang kesemuanya berasal dari Batu Pahat, Johor.

“Kereta Proton Wira yang mereka naiki dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan lain lalu bertembung dengan lori yang membawa barangan sejuk beku itu, ” katanya ketika dihubungi.

Azman berkata ketika kejadian keempat-empat mereka sedang dalam perjalanan dari Batu Pahat ke sini manakala lori berkenaan dari arah bertentangan bagi menghantar barangan berkenaan.

Katanya mayat kesemua yang terbunuh itu dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini untuk bedah siasat manakala pemandu lori berkenaan yang berusia  62 tahun dihantar ke hospital yang sama dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian agar tampil bagi membantu siasatan.

Ibu Tin yang hanya dikenali Puan Lim, 40-an ketika ditemui pemberita di bilik mayat hospital itu berkata beliau hanya mengetahui anak kedua daripada tiga beradik itu ke sini untuk bekerja.

“Saya hanya diberitahu anak saya itu mahu keluar kerja dengan kawan-kawan di Muar sehinggalah saya mendapat berita sedih ini,” katanya.

Sementara itu teman wanita Tan yang enggan dikenali berkata sepatutnya dia bertemu kekasihnya itu pada malam ini sempena sambutan Hari Kekasih hari ini.

Katanya beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa kekasihnya itu melalui laman Facebook yang kemudiannya terus ke hospital berkenaan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.