Hotel Nafi Larang Kakitangan Solat

Bayan Lepas – Pengurusan TH Hotel menafikan tidak membenarkan pekerjanya menunaikan solat Jumaat.

 

Pengurus TH Hotel Pulau Pinang, Amin Manaf berkata, kesemua pekerjanya diberi masa mencukupi menunaikan solat Jumaat dan solat fardu setiap hari.

 

Menurutnya, laporan mengatakan pihak pengurusan hotel tidak membenarkan kakitangannya menunaikan solat Jumaat adalah tidak benar.

 

“Kita menggalakkan semua kakitangan kita melaksanakan kewajipan mereka malah pihak hotel juga menyediakan surau bertaraf lima bintang kepada tetamu dan pekerja di sini.

 

“Sekiranya sampai waktu solat Jumaat kita akan tukarkan petugas perempuan untuk mengambil alih tugas dan pekerja lelaki dibenarkan untuk keluar menunaikan solat Jumaat bermula dari jam 12.30 tengahari sehingga 2.30 petang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

 

Bagaimanapun, menurutnya pengurusan hotel tidak mempunyai pekerja perempuan di bahagian pengangkat barang (bell man) dan terpaksa menggunakan khidmat pekerja lelaki setiap masa.

 

“Sekiranya pada hari Jumaat hanya seorang sahaja pekerja lelaki yang akan bertugas di bahagian itu dan selebihnya dibenarkan keluar untuk solat Jumaat.

 

“Selepas selesai tugas pekerja berkenaan akan ke surau dan melaksanakan solat Zohor,” katanya.

 

Terdahulu, Sinar Harian menerima aduan mengatakan hotel berkenaan tidak membenarkan kakitangan mereka menunaikan solat Jumaat. -Sinar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.