Hatta Ramli Buat Laporan Polis

Shah Alam – Satu laporan polis telah dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berhubung insiden khianat individu tidak dikenali yang cuba membakar keretanya awal pagi tadi.
“Laporan polis sudah dibuat,” demikian menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang juga rakan rapat kepada Dr Hatta.
Bagaimanapun Dr Dzulkefly tidak memaklumkan di mana laporan berkenaan dibuat.
Dr Hatta bagaimanapun masih gagal dihubungi bagi mendapatkan maklum balas lanjut beliau berhubung insiden berkenaan.
Dalam kejadian jam 3.50 pagi tadi, kereta Ahli Parlimen Kuala Krai itu yang diletakkan di luar rumahnya di Hulu Kelang, dibakar oleh individu tidak dikenali.
Dikatakan sebuah kereta melalui kawasan rumahnya dan individu tidak dikenali cuba membakar kereta itu, namun ia disedari pengawal bertugas yang membunyikan hon motosikalnya.
Dr Dzulkefly juga menafikan ianya angkara segelintir ahli parti yang mempunyai kaitan dengan kejadian demonstrasi di ibu pejabat PAS minggu lalu.
“Saya yakin bukan ahli PAS terlibat, dan ia dibuat oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan dari apa yang berlaku,” kata bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Ahad lepas, sekumpulan ahli PAS yang dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan disertai Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik mengadakan demonstrasi di perkarangan ibu pejabat parti itu.
Mereka mendesak peletakan jawatan Dr Hatta kerana mendakwa pemimpin itu mendalangi satu konspirasi menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.