Ditahan Ketika Sumbat Lembu Dalam Kereta

Bachok – Seorang lelaki berjaya ditangkap penduduk kampung ketika cuba melarikan lembu yang diletakkan di tempat duduk belakang sebuah kereta di Sungai Binjai, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, ketika kejadian penternak lembu mengesyaki sesuatu apabila dua buah kereta dilihat memasuki kawasan ternakan lembu pada jam 12 tengah malam semalam.

Beliau berkata, penduduk terpaksa mengejar dua buah kereta iaitu Proton Wira dan Saga itu sebelum menahannya namun semua suspek cuba melarikan diri.
“Terdapat dua lelaki dalam setiap kereta yang masing- masing membawa seekor lembu di tempat duduk belakang. Seorang suspek berjaya ditangkap penduduk dan tiga lagi berjaya melarikan diri.

“Suspek yang ditahan seorang lelaki Melayu berusia 22 tahun mengaku terlibat mencuri lembu di sekitar Kelantan untuk pasaran tempatan terutamanya Pasir Mas. Suspek mengaku ada ketua yang mendalangi kegiatan itu lebih setahun lalu. Kami masih memburu tiga lagi suspek,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Gunong semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Beliau berkata, kes kecurian lembu ini disebabkan terdapat permintaan tinggi terhadap daging lembu tempatan terutamanya apabila menjelang musim perayaan.

Katanya, rekod tahun lalu menunjukkan terdapat 22 kes kecurian lembu di Bachok dan sehingga Februari ini pula sudah empat kes dilaporkan. – SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.