Cubaan Balas Dendam Gagal, Pelajar Kolej Ditahan Bawa Senjata Berbahaya Serang Rakan Sekolej

Kuantan – Gara-gara perselisihan faham dengan rakan sekolej, seorang penuntut sebuah kolej di sini bertindak mengajak geng dengan membawa bersama beberapa bilah senjata berbahaya dipercayai bagi tujuan membalas dendam.

Namun, niat pelajar berusia 18 tahun itu bersama kumpulannya termasuk salah seorang ahli adalah abangnya sendiri berjaya digagalkan selepas terserempak dengan anggota polis di kawasan Jalan Alor Akar di sini, kira-kira jam 4.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, anggota dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Kuantan mengarahkan kereta yang dinaiki empat lelaki itu berhenti untuk pemeriksaan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bagaimanapun mereka melanggar arahan apabila terus memecut kereta melarikan diri.

“Kita mengejarnya dan ketika sampai di jalan Bukit Ubi, kereta dinaiki mereka merempuh sekatan polis sebelum memecut hingga ke kawasan perumahan Sungai Isap.

“Cubaan mereka meloloskan diri gagal apabila kereta dinaiki terperangkap di jalan mati sebelum meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, remaja terbabit berjaya ditahan berhampiran masjid baru Sungai Isap selepas berlaku pergelutan dengan polis.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek menjumpai dua bilah parang, sebilah pedang samurai boleh laras, sebatang kayu baseball dan sebatang kayu berwarna hitam dipercayai digunakan untuk pergaduhan,” katanya.

Beliau berkata, tiga lagi suspek sudah dikenal pasti dan akan ditahan untuk membantu siasatan.

“Suspek yang ditahan di  siasat  di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya. – SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.