Bekas Mejar Zaidi Bakal Sertai PAS

Kuala Lumpur – Bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad, yang dibuang dari Angkatan Tentera kerana melanggar protokol mendedahkan masalah dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, dilaporkan akan menyertai PAS.

 

Menurut laporan The Malaysian Insider, Zaidi berhasrat menyertai parti Islam itu sebaik memperolehi kad pengenalan baru sebagai rakyat biasa.

 
“Saya akan menjadi ahli PAS. Saya sedang menunggu MyKad saya sebagai rakyat biasa.

 

“Saya lebih (cenderung) kepada Islam, sebab itu saya pilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Saya mahu menyumbang dengan cara ini,” katanya seperti yang dipetik dalam The Malaysian Insider.

 

Beliau juga mengakui berminat dengan sekutu Pakatan Rakyat itu, kerana parti itu dikatakan menegakkan Islam.

 

Zaidi berkata demikian pada majlis pelancaran buku terbaru kartunis Zunar di Petaling Jaya pada Sabtu.

 

Pada 12 Januari lalu, Zaidi Ahmad telah dijatuhkan hukuman buang kerja daripada perkhidmatan Yang di-Pertuan Agong serta-merta selepas didapati bersalah di atas dua dakwaan melanggar protokol mendedahkan masalah dakwat kekal yang digunakan dalam PRU13, Mei 2013.

 

Keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua, Kolonel Saadon Hassan yang mengetuai panel lima anggota yang terdiri daripada Leftenan Kolonel Zainurin Mohd. Dom, Mejar Khuzairi Mohd. Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib dan Mejar S. Nadzeer Salehuddin. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.